Ia dianggap satu ujian untuk Azizul berlatih di sana kerana perlu mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi ketika berlatih di samping menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar pada pukul 5.54 pagi hingga terbenam matahari jam 5.09 malam.

Di sebalik cabaran tersebut, pelumba berusia 29 tahun itu bagaimanapun mendedahkan rahsianya, bahawa dia telah beberapa kali menipu jurulatihnya John Beasley dengan mengatakan tidak berpuasa ketika perlu menjalani latihan dalam bulan Ramadan.

The Pocket Rocketman itu berkata, dia berbuat demikian agar jurulatihnya tidak bimbang terhadap kesihatannya.

Katanya, walaupun pada waktu Ramadan, bentuk latihannya tidak berubah dan kekal seperti pada bulan-bulan lain, sambil menyifatkan berlatih dengan intensiti yang tinggi tanpa makan dan minum merupakan salah satu dugaan terbesar dalam kariernya.

“Sangat mencabar (berpuasa sambil berlatih di Melbourne), tambahan pula di sini musim sejuk. Dalam velodrom lebih sejuk berbanding di luar kerana angin berkumpul di dalam bangunan.

“Bagaimanapun kita kena tahu cara yang betul dan strategi tertentu agar tidak memudaratkan diri. Tetapi saya tahu, apabila keadaan sudah melebihi had dan bila masanya saya harus berhenti berlatih atau harus berbuka puasa kerana badan hampir mencapai tahap terlampau letih.

“Semua saya belajar daripada pengalaman dan penyelidikan. Saya juga mendapat motivasi daripada perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat pada bulan puasa.

“Kalau mereka boleh melakukannya kenapa tidak