TEMERLOH – “Saya risaukan masa depan dua anak saya ini,jika saya mati nanti rasanya tiada siapa yang boleh saya harapkan untuk jaga mereka.
“Setakat ini tak ada lagi, tak ada lagi yang saya boleh harapkan untuk jaga mereka ini…Harapan memang pada yang lima (beradik) itulah harap ada yang mampu, tapi setakat ini tak ada lagi,” kata Abdul Rahman Jusoh.
Abdul Rahman 73,yang membesarkan dua anak orang kurang upaya (OKU) di rumahnya di Kampung Paya Mengkuang, Ladang di sini menarik perhatian netizen yang membaca kisah sedihnya apabila terpaksa menggunakan lampin pakai buang berulang kali akibat kesempitan hidup.
Abdul Rahman berkata, hasil perkahwinannya sebelum ini, dia dikurniakan tujuh anak dan Musa,22, adalah anak bongsu yang menderita kecacatan fizikal hingga tidak mampu untuk bergerak.
Menurutnya, selain Musa yang cacat fizikal sejak dilahirkan, seorang lagi anaknya, Fadzil, 29 turut dikategorikan OKU mental dan penglihatan akibat demam panas ketika berumur 10 tahun.
“Saya harapkan lima lagi adik beradiknya sampai masanya nanti mampu untuk menjaga dua anak saya ini, saya tak pernah rasa beban untuk membesarkan dua anak saya ini tapi rasa tak kuat sebab badan dah tua.

“Ini takdir saya, saya hanya berdoa kalau saya mati,matilah saya…kalau hidup pula biarlah sihat jangan hidup tapi terlantar sakit, siapa nak jaga anak saya.

“Kita hidup ini mesti ada masanya sakit juga, saya tak boleh sakit sebab nak jaga anak-anak saya, sebab itu saya tak boleh kerja jauh, noreh belakang rumah je bolehlah,” katanya.
Abdul Rahman mendakwa kisah dia menggunakan lampin pakai buang berulang kali itu sebenarnya salah faham antara pihak tertentu yang datang menziarahinya.
“Saya tak gunakan banyak kali, saya basuh jemur supaya senang untuk dibakar, habislah berkudis dapat penyakit gatal pakai banyak kali,” katanya.
Abdul Rahman berkata, apa pun dia tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana yang datang melawatnya hanya bertujuan untuk membantunya, mana yang baik membawa kebaikkan kepadanya dan yang buruk terserah kepadanya.
Abdul Rahman mengakui menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan atas dua nama tetapi tidak menerima lain-lain jenis bantuan.
Menurutnya, dia pernah sekali mengisi borang zakat dan dapat RM500 tetapi baginya ada perasaan malu kerana meminta wang zakat bukan caranya.
“Lepas daripada itu saya tak pernah minta zakat lagi, malu pun ada, saya pun rasa zakat ini bukan kita kena minta…dia (Pusat Zakat) yang kena datang cari mana yang layak dia bagi, bagi saya minta zakat ini tak betul, kalau dia orang nilai kita layak terima kita terima lah,” katanya.
Abdul Rahman berkata, belanja yang ditanggung membesarkan anak OKU itu sekitar RM300 sebulan termasuk susu dan lampin