Semakin ramai pengikut sesebuah akaun di laman sosial, semakin tinggi bayaran yang dikenakan oleh empunya akaun untuk mempromosikan produk atau barangan yang dijual.

Tetapi berbeza dengan Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra disapa Pak Nil yang sehingga kini sudah mengumpulkan pengikut yang tinggi berjumlah 1.1 juta.

Mempunyai jumlah pengikut yang tinggi, Pak Nil membuat sesuatu yang berbeza dengan memberikan ulasan produk secara percuma tanpa sebarang caj tersembunyi kepada pengikutnya.

Tindakan itu menurut Pak Nil bermula selepas dia menghalang sesiapa sahaja yang mengikut Instagramnya berniaga atau mempromosikan barang di akaun miliknya.

“Saya hanya ada satu akaun instagram dan itu sangat peribadi buat saya. Jadi ketika itu tidak seronok jika ada yang mempromosikan barangan mereka di akaun saya.

“Untuk itu, saya wujudkan penggunaan #bazaarpaknil bagi peniaga yang ingin menggunakan nama saya sebagai langkah untuk mempromosikan produk mereka,” jelasnya.

Penggunaan #bazaarpaknil itu berterusan selama beberapa tahun hinggalah tertubuhnya ruangan #bazaarpaknil secara fizikal di Plaza PKNS, Shah Alam, Selangor yang mendapat sambutan hangat orang ramai.

Bermula dari situ, Pak Nil mula berfikir selain peminat, golongan peniaga juga antara salah seorang daripada 1.1 juta pengikutnya di Instagram.

“Apabila saya fikir semula, kalau bukan kerana mereka setia mengikuti Instagram saya walaupun ditegah daripada mempromosikan produk sebelum ini, sudah pasti pengikut saya tidak mencecah angka sejuta.

“Oleh sebab itu saya fikir sudah tiba masanya untuk saya meluangkan sedikit masa terluang memberikan ulasan-ulasan kepada produk mereka secara percuma tanpa sebarang bayaran,” jelasnya.

Fokus pada #bazaarpaknil

Tambah Pak Nil, sejak menyediakan platform itu banyak barang yang dihantar ke rumahnya sehingga ruangan stor di rumahnya penuh dengan produk yang menunggu giliran untuk diulas.

“Saya tidak pernah memberi sebarang syarat untuk barangan yang boleh saya buat ulasan. Asalkan barang itu mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan barangan ciplak pasti saya akan memberikan ulasan.

“Cuma dari segi masa itu kena bersabarlah sebab saya buat ikut kelapangan.

“Mereka yang menghantar juga nampaknya menanti dengan sabar giliran mereka,” katanya.

Namun niat baik Pak Nil memberikan ulasan secara percuma itu nampaknya tidak disenangi sesetengah pihak.

Ada yang menuduh pengacara itu mengganggu periuk nasi orang lain walaupun niatnya hanyalah untuk membantu golongan peniaga.

“Saya dituduh macam-macam sedangkan niat asal saya hanyalah untuk membantu orang lain sahaja.

“Langsung tiada niat untuk mengacau atau mengganggu pihak lain.

“Bagi saya, duit bukanlah segala-galanya.

“Membuat orang gembira itu sudah memberi kepuasan kepada saya,” jelasnya.

Sebelum ini sudah ada pihak yang menggunakan nama artis untuk melariskan lokasi jualan mereka tetapi kecewa kerana ada artis yang hanya hadir pada hari tertentu sahaja.

Pak Nil sendiri mengakui perkara tersebut dan memberitahu itu tidak dilakukan untuk #bazaarpaknil.

Bahkan ramai yang tertarik untuk ke #bazaarpaknil kerana hampir setiap malam, pengacara itu akan meluangkan masanya di sana.

“Sebelum ini ada juga saya dengar mengenai perbuatan pinjam nama artis untuk melariskan sesuatu produk. Tetapi peminat kecewa kerana tidak dapat bertemu dengan artis.

“Bagaimanapun sesiapa sahaja yang memberikan saya peluang, pasti tidak akan dikecewakan apatah lagi sudah menjadi prinsip saya untuk melakukan sesuatu perkara itu dengan betul,” jelasnya.

Buktinya menurut Pak Nil, #bazaarpaknil mendapat sambutan yang baik. Malah ada peniaga yang tidak mahu keluar selepas tamat kontrak tiga bulan dek komitmen tinggi yang diberikan Pak Nil.

“Jika dulu ada yang tidak berminat untuk menyertai #bazaarpaknil kini sudah mula beratur dan menunggu giliran untuk menyertai peniaga lain,” jelasnya.

Bercerita mengenai Ramadan pula, jelas Pak Nil dia sememangnya memberi fokus penuh pada #bazaarpaknil terutama menjelang Syawal.

Untuk dua minggu terakhir Ramadan, waktu operasi #bazaarpaknil akan berlanjutan sehingga pukul 3 pagi.

“Tidak banyak aktiviti yang saya rancangkan menjelang Syawal kerana sekarang pun sudah padat dengan kehadiran