Tetapi, dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU 14, kerajaan PH hendak mengesahkan konvensyen itu dan lima lagi konvensyen yang berkaitan, sebagai memenuhi janji pilihanrayanya, khususnya kepada orang bukan Melayu.

Maka, kita perlu tahu mengapa selama lebih daripada 50 tahun Malaysia, di bawah pemerintahan kerajaan BN, tidak mengesahkan konvensyen itu dan mengapa kerajaan PH hendak mengesahkannya. Untuk itu, kita perlu tahu terlebih dahulu isi kandungannya dan kesan pengesahannya.

Dalam rencana ini saya hanya akan memperturunkan bererapa peruntukan yang penting yang mungkin memberi kesan kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan kita, khususnya Perkara 153, kerana, atas satu alasan itu sahaja pun, ia sudah cukup merugikan orang lain.

Konvensyen itu, antara lain, memperuntukkan:

“Perkara 1

1. Dalam Konvensyen ini, istilah “diskriminasi kaum” bermaksud sebarang perbezaan, pengecualian, sekatan atau keutamaan berdasarkan bangsa, warna, keturunan, atau asal-usul kebangsaan atau etnik yang mempunyai maksud atau kesan membatalkan atau merusakkan pengktirafan, penikmatan dan penggunaan, atas asas yang sama, hak asasi manusia (“or effect of nullifying or impairing the recognition, enjoyment or exercise, on an equal footing, of human rights”) dan kebebasan asas dalam politik, ekonomi, sosial, kebudayaan atau mana-mana bidang kehidupan umum.” (Terjemahan saya. Untuk mengetahui peruntudan asal dalam Bahasa Inggeris, sila layari laman-laman web saya.)

Ringkasnya memberi keistimewaan kepada sesuatu kumpulan berdasarkan kaum adalah diskriminasi.

2. Konvensyen ini tidak terpakai bagi perbezaan, pengecualian, sekatan atau keutamaan yang dibuat oleh Pihak Negara kepada Konvensyen ini antara warganegara dan bukan warganegara. (Terjemahan saya).

Maksudnya diskriminasi antara warganegara dan bukan warganegara dibenarkan.

4. Langkah-langkah khusus yang diambil untuk tujuan tunggal untuk mencapai kemajuan yang mencukupi bagi sesetengah golongan kaum atau etnik atau individu yang memerlukan perlindungan sedemikian yang perlu untuk memastikan kumpulan atau individu yang sama menikmati atau menjalankan hak asasi manusia dan kebebasan asas tidak akan dianggap diskriminasi kaum , dengan syarat, bahawa langkah sedemikian tidak, akibatnya, membawa kepada penyelenggaraan hak yang berasingan bagi kumpulan kaum yang berlainan dan bahawa ia tidak akan diteruskan setelah tujuan ia diambil telah dicapai. (Terjemahan saya)

Ringkasnya, diskriminasi seperti yang terkandung dalam Perkara 153 dibenarkan jika ia memenuhi syarat-syarat yang disebut dalam pasal ini. Tanpa menghujahkan alasan-alasan lain, Perkara 153 tidak akan terkecuali kerana ia bukan bagi suatu tempoh yang terhad. 

Ia tidak menyebut bahawa ia tidak akan “diteruskan setelah tujuan yang ia (langkah itu) diambil telah dicapai”. Selain dari itu, jika konvensyen itu disahkan, pihak yang tidak mahu adanya Perkara 153 akan menghujahkan bahawa tujuannya telah tercapai dan masa selama lebih daripada 60 tahun sudah cukup panjang dan ia tidak sepatutnya dibiarkan berterusan.

Saya berani mengatakan, jika konvensyen itu disahkan, dengan serta merta, akan ada pihak yang akan mencabar kesahan (validity) Perkara 153 atas alasan ia bercanggah dengan konvensyen itu.

“Perkara 2

1 Negara-negara Pihak mengecam diskriminasi kaum dan berusaha untuk melaksanakan dengan segala cara yang sesuai dan tanpa kelewatan dasar bagi menghapuskan diskriminasi kaum dalam semua bentuknya dan mempromosikan persefahaman di kalangan semua kaum, dan, untuk tujuan ini:

(a) Setiap Negara Pihak berjanji untuk tidak melakukan tindakan atau amalan diskriminasi kaum terhadap orang, kumpulan orang atau institusi dan untuk memastikan bahawa semua pihak berkuasa awam dan institusi awam, nasional dan tempatan, hendaklah bertindak mengikut kewajipan ini; (Terjemahan saya)

(b) ……..

(c) Setiap Pihak Negara akan mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk mengkaji semula dasar kerajaan, nasional dan tempatan, dan untuk meminda, membatalkan atau memansuhkan mana-mana undang-undang dan peraturan yang mempunyai kesan mewujudkan atau mengekalkan diskriminasi kaum di mana-mana ia wujud; (Terjemahan saya)

Ringkasnya, kerajaan hendaklah, antara lain, berusaha untuk menghapuskan diskriminasi kaum dengan segera termasuk meminda, membatal dan memansuhkan undang-undang yang mengekalkan diskriminasi kaum. Dalam kata-kata lain, Perkara 153 perlu dimansuhkan dan segala dasar yang yang mengutamakan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, mestilah dihentikan.

Saya tiada masalah dengan Pasal 3 kerana kita tidak pernah mengamalkan apartheid.

Pasal 5 panjang. Sebagai misalan, ia menghendaki Negara Pihak menghapuskan diskriminasi dan menjamin hak kepada semua orang untuk mengambil bahagian dalam politik seperti bertanding dalam pilihanraya; hak untuk kebebasan bergerak dan tinggal dalam sempadan negara; hak untuk kebebasan keluar negara dan kembali semula; hak untuk kebebasan memiliki harta secara bersendirian atau bersama-sama orang lain; hak untuk mewarisi harta; hak untuk kebebasan berhimpun dan berpersatuan dan lain-lain. Semuanya sudah pun diperuntukkan dalam Perlembagaan kita. Kita tidak ada masalah dengannya.

Apakah kesannya jika kita mengesahkan konvensyen itu?

Dalam hubungan negara kita dengan negara-negara lain, kita terikat dengan konvensyen itu.

Di peringkat dalam negera, kita kena melaksanakannya, termasuk mengubah dasar kita, misalnya UiTM mestilah dibuka kepada semua, tidak boleh dikhaskan kepada pelajar-pelajar Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak sahaja; pengambilan pegawai-pegawai awam tidak boleh mengikut quota lagi; demikian juga pemberian biasiswa, lesen dan kontrak, tidak boleh diberi keutamaan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak lagi, dan berbagai-bagai lagi; undang-undang yang bersifat diskriminasi, termasuk Perkara 153 mestilah dimansuhkan, dan lain-lain lagi.

Itulah sebabnya kerajaan BN tidak mengesahkannya. Dalam hal ini, kita patut puji kerajaan BN dan peguam-peguam negara yang menasihatkan kerajaan BN dalam tempoh 50 tahun itu.

Perlu diambil ingatan, tempoh itu termasuk 22 tahun Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Kita juga patut puji beliau bagi tempoh itu. Bagaimana sekarang?

Sekarang, dengan Waytha Moorthy, Pengerusi Hindraf sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi perpaduan dan kesejahteraan; Tommy Thomas sebagai Peguam Negara; DAP sebagai parti dominan dalam PH walau pun PH