Puncanya bermula apabila majoriti umat Islam mula hilang pegangan dan lebih mencintai keduniaan. Kecintaan kepada kedudukan, kemewahan, wang dan kemegahan telah digunakan sebaik mungkin oleh musuh untuk memusnahkan serta memecahbelahkan umat Islam.


Pendakwah Islam kelahiran Melbourne, Australia, Sheikh Bilal Assad berkata, gerak kerja musuh Islam cukup mudah iaitu dengan memanipulasikan kelemahan umat Islam pada masa itu.

“Antara strategi manipulasi itu adalah dengan mewujudkan permusuhan antara umat Islam bangsa Turki yang ketika itu mentadbir Empayar Uthmaniah bersama bangsa Arab yang menetap di Tanah Arab ketika itu.

Musuh Islam tidak perlu berperang tetapi hanya dengan satu muslihat iaitu membawa permusuhan sehingga berakhirnya empayar Islam,” katanya yang bergiat aktif dalam Persatuan Islam Victoria.

Ikutilah wawancara bersama beliau:

Bagaimanakah musuh Islam lakukan muslihat?

Bilal Assad - Antara peristiwa yang diceritakan adalah mereka (musuh Islam) telah menemui bangsa Arab di Tanah Arab dan mempersoalkan sikap mereka yang membiarkan bangsa Turki memerintah serta memegang jawatan khalifah.

Musuh itu berkata, Nabi Muhammad SAW berketurunan Arab dan bahasa dalam al-Quran pun adalah bahasa Arab, jadi tidakkah mereka berasa malu dengan situasi berkenaan.

Malangnya, ramai yang terpengaruh.

Apa yang terjadi?

Sekumpulan bangsa Arab mula memerangi bangsa Turki yang tinggal di Tanah Arab. Dalam satu kejadian, mereka dikejar hingga ke Kaabah dan dikepung di situ.