Walhal, kata Ahli Parlimen Bera itu, Orang Asli merupakan masyarakat bumiputera yang cukup istimewa.

“Termenung saya seketika bila membaca satu kenyataan ringkas melalui twitter milik Lim Kit Siang yang kononnya peka dan berhasrat jika Pakatan Harapan menang di Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 Januari ini nanti akan mengusulkan supaya Orang Asli diberikan taraf kerakyatan penuh Malaysia.

“Untuk pendidikan mereka (Orang Asli), kerajaan menyediakan biasiswa penuh kepada Orang Asli. Bukan sahaja sekolah percuma, malah mereka dibekalkan dengan pakaian lengkap persekolahan percuma dan mereka mendapat duit poket dari kerajaan dan lain-lain keistimewaan.

“Apakah secetek itu pemikiran seorang Ahli Parlimen yang paling lama berada dalam Dewan Rakyat ini?,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk pengetahuan Kit Siang, kata Ismail Sabri lagi, Kabinet Kerajaan BN sebelum ini telah mewujudkan satu Majlis Penasihat Orang Asli untuk memantau pembangunan masyarakat Orang Asli.

Majlis itu dipengerusikan oleh menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Jawatankuasa dalam majlis tersebut terdiri daripada wakil-wakil Orang Asli, Persatuan Orang Asli Semenanjung, wakil Persatuan Keusahawan Orang Asli, wakil profesional, wakil belia Orang Asli dan lain-lain.

Majlis tersebut, kata beliau, merupakan badan yang bertindak bagi pihak kerajaan untuk mengkaji dan memikirkan keperluan pembangunan kepada seluruh Masyarakat Orang Asli Malaysia.

“Ketika saya menjadi Menteri di KKLW , dalam mengangkat martabat Orang Asli saya telah melantik Orang Asli Pertama dalam sejarah apabila Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di terajui seorang berpangkat Ketua Pengarah dari kalangan Orang Asli iaitu Datuk Ajis Sitin yang berasal dari Cameron Highlands yang ketika itu berkhidmat di Kementerian Kerja Raya.

“Pengarah negeri seperti Pahang dan Perak dari kalangan masyarakat Orang Asli. Negeri Johor ketika itu dalam tindakan untuk mengesahkan jawatan pengarah juga dari kalangan Orang Asli. Ketika itu pencapaian tertinggi Orang Asli ialah berjaya melahirkan empat orang pemegang PhD dari masyarakat mereka hasil dari keistimewaan yang disediakan kerajaan BN sebelum ini.

“Sasaran kerajaan ketika itu ialah untuk menghantar 15 orang pelajar dari kalangan masyarakat Orang Asli ke luar negara setiap tahun dalam pelbagai kursus dan mendapat biasiswa penuh di bawah tajaan Mara,” katanya.